Pages

Harapan baru

ADA sebuah lagu ciptaan dan nyanyian Sohaimi Meor Hassan berjudul Apabila Isteri Ku Tertawa yang pernah menggamit perasaan Awang pada awal tahun 1980-an.
Dalam lagu itu turut digambarkan betapa harga rumah melambung seakan tiada batasnya. Awang yang ketika itu masih di awal usia 20-an melihat ia bukan sahaja keluh kesah Sohaimi malah kebanyakan orang muda.
Mereka yang baru bekerja dan berkahwin dengan pendapatan yang tidak seberapa terpaksa bergelut dengan tekanan kewangan. Untuk membeli sebuah rumah berharga rendah umpama satu perjuangan. Wang pendahuluan atau deposit yang tinggi dan kos guaman membuatkan ramai tidak berdaya meneruskan impian.
Masa berubah. Harga rumah apatah lagi di bandar-bandar besar lagi melonjak tinggi. Generasi muda hari ini seperti juga ketika era Awang berdepan dengan hambatan yang sama iaitu kesukaran untuk memiliki rumah pertama. Dugaan mereka lebih besar berbanding generasi terdahulu.
Rumah teres dua tingkat berharga antara RM100,000 dan RM150,000 yang biasa dijual di Lembah Klang pada dekad 1980-an dan awal 1990-an, kini berlipat ganda harganya. Menurut kajian terbaru Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) bagi suku ketiga tahun lalu, harga rumah teres di Kuala Lumpur dijual pada harga purata kira-kira RM430,000 sebuah. Berdasarkan unjuran Rehda, harga rumah dijangka meningkat secara puratanya 13 peratus bagi tahun ini.
Di pinggir Kuala Lumpur, harga rumah teres masih tinggi iaitu mencecah RM300,000 dan pangsapuri RM200,000. Jika inilah senarionya, tidak hairan bagi kebanyakan orang muda bergaji rendah yang mahu memiliki rumah pertama - harga rumah menjadi igauan ngeri.
Ramai yang tidak mampu menyediakan wang pendahuluan. Tidak kurang yang terpaksa bergolok bergadai dan meminjam wang ceti untuk melengkapkan deposit. Lalu Awang bersyukur dengan pengumuman Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas.
Ia bertujuan membantu golongan muda berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah. Melalui skim tersebut pembeli akan mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan bagi rumah berharga RM220,000 ke bawah.
Pembeli rumah pertama juga akan diberikan pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus ke atas surat cara pindah milik bagi rumah berharga tidak melebihi RM350,000. Pengumuman tersebut mendapat reaksi positif semua pihak apatah lagi orang muda sama ada di bandar mahupun luar bandar.
Ketika Awang berada di Restoran Pelita, Jalan Ampang di ibu negara, pengumuman berita itu menjadi bahan bualan hangat sekumpulan lelaki muda. Awang yang duduk di sebelah meja mereka dapat merasakan bahang kegembiraan. Sambil menghirup teh tarik, Awang melayari Internet menerusi komputer bimbit mencari jika ada negara lain melaksanakan skim seumpama itu.
Pencarian Awang tidak menemui apa-apa dan kemungkinan besar, kerajaan Malaysia yang pertama berbuat demikian untuk orang muda berpendapatan rendah.
Disebabkan skim itu begitu memikat hati, ada yang mencadangkan agar had pendapatan pembeli ditambah kepada RM6,000 dan harga rumah sehingga RM350,000 di kawasan Lembah Klang dan bandar-bandar besar.
Awang percaya kerajaan pusat akan memberi pertimbangan kepada semua maklum balas. Apa pun, ternyata Najib menunaikan satu demi satu janjinya kepada rakyat termasuk untuk membawa kesejahteraan kepada golongan muda. Pada malam itu, Awang meninggalkan meja di restoran tersebut sambil melihat mereka terus ceria. Bagi mereka, harapan baru sudah menjelma.
Awang pernah melalui kehidupan muda yang mencabar. Sebagai bapa, adakalanya kita juga resah memikirkan nasib generasi anak-anak kita pula. Maka keprihatinan Najib kepada golongan itu amat besar maknanya. Terima kasih.
/uckb: um - 13/3/11